Thursday, October 22, 2009

Pas tetap tubuh kerajaan Islam -Datuk Takiyuddin Hassan


KOTA BHARU - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan tetap meneruskan matlamatnya menubuhkan kerajaan Islam berlandaskan al-Quran dan hadis selaras dengan perlembagaan serta perjuangan parti itu.Takiyuddin berkata, pada masa kini, perlaksanaan undang-undang Islam itu tidak dapat dilaksanakan walaupun di negeri yang diperintah Pas kerana sistem perundangan negara ini berlandaskan sistem sekular yang meletakkan perlembagaan mengatasi segala-galanya.Beliau berkata, sekiranya Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang baru berasaskan Islam ia tidak akan disahkan kerana bertentangan dengan perlembagaan.

“Sebagai disebutkan perlembagaan Persekutuan telah disahkan sebagai undang-undang utama dan tertinggi oleh sebab itu perlembagaan negeri termasuk Kelantan terpaksa mengikut perlembagaan Persekutuan jika tidak ia tidak sah.“Pun begitu, kita akan meneruskan matlamat utama seperti termaktub dalam perlembagaan parti adalah perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang dalamnya wujud undang-undang Allah.“Ia akan tetap diteruskan sehingga sampai ketika kerajaan Persekutuan menukar sistem sekular kepada sistem Islam, kita akan bubar Pas masuk UMNO tetapi saya yakin sampai bila-bila pun ia tidak akan berlaku dan perjuangan kita akan diteruskan,”

katanya ketika menjawab soalan lisan dan tambahan daripada Abdul Halim Abd. Rahman (Pas-Chetok), Hassan Mohamod (Pas-Tawang) dan Muhammad Mustafa (Pas-Demit) pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini, semalam.Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, di bawah pemerintahan Pas, Kerajaan Kelantan telah meluluskan dua enakmen untuk melaksanakan hukum Islam di negeri ini.“Selepas 19 tahun Kelantan di bawah Pas, kita telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memartabatkan Islam sebagai contoh pada tahun 1993 kita luluskan undang-undang yang cukup penting iaitu Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan Enakmen Hudud.

Kedua-duanya telah diperkenankan oleh Sultan Kelantan dan diwartakan pada sidang DUN tetapi tidak dapat dilaksanakan disebabkan pelbagai tekanan dan ugutan, kita tidak faham kenapa mereka takut sangat kepada hukum Allah,” katanya.Beliau berkata, mengikut pandangan pakar perundangan, agama Islam bukannya agama rasmi negara ini walaupun ia termaktub dalam perlembagaan.“Dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa Islam ialah agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan bebas.“Pakar-pakar undang-undang menjelaskan bahawa maksud Islam bukan seperti mana yang kita faham iaitu Islam agama rasmi,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, Mahkamah Syariah di negara ini tidak dapat menegakkan undang-undang Islam dan tanggungjawabnya hanya meliputi ruang lingkup yang amat terhad seperti undang-undang kekeluargaan, perkahwinan dan perceraian.“Mahkamah Syariah hanya dibenarkan melaksanakan hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan denda tidak melebihi enam sebatan.“Syarat yang lebih dikenali dengan ‘Akta 356’ pada masa sekarang, ia jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah amat terikat dengan akta ini,” katanya.(sumber dari www.demokrasi93.blogspot.com )

No comments:

Post a Comment