Monday, January 24, 2011

DUN TENANG: UTUSAN FITNAH LAGI " MERAMPAS IMAM SOLAT JENAZAH"



Imam solat jenazah SU Umno Tenang nafi Utusan

LABIS, 24 Jan: Che Zuhar Che Haron, ahli PAS dari Pahang yang mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, menafikan sebuah berita daripada akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menggambarkan beliau seolah-olah ‘merampas’ untuk menjadi imam solat berkenaan.

Sebaliknya, beliau telah ditarik tangan oleh penduduk tempatan dan makmum Masjid An-Nur Felda Tenang itu, setelah jenazah yang sampai sejak jam 10.30 pagi sehingga jam 2 petang tidak disempurnakan kerana imam masjid berkenaan pergi ke padang menyambut Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang saya lakukan hanyalah menyelesaikan hukum fardhu kifayah setelah sekian lama jenazah setiausaha Umno itu tidak disempurnakan, itupun setelah makmum dan bilal meminta saya berbuat demikian kerana imam sebenar masjid itu pergi ke padang,” jelasnya yang kini masih berada di Labis mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat.

Akhbar pro-Umno itu hari ini di muka surat 5 di bawah tajuk ‘PAS terbukti memfitnah PM’, mengatakan Perdana Menteri itu dalam lawatannya ke Felda Tenang, 18 Januari lalu tidak diberitahu kematian Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd pada jam 2.30 pagi sebelum itu.

Akhbar tersebut memetik sumber daripada Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.

Akhbar tersebut yang juga memetik edisi kedua Buletin Tenang, PAS menipu apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.

Akhbar berkenaan menyebut, beberapa wakil dan jentera Pas hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.

Tambah akhbar itu, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.

“Pada hakikatnya Unit Amal PAS telah bertungkus-lumus membantu penduduk kampung menggali kubur. Kemudian jenazah Allahyarham telah dibawa ke masjid kira-kira jam 10 pagi. Makmum terus meninggu hingga ke waktu Solat Zohor, tetapi imam tidak ada kerana pergi ke padang menyambut Najib.

“Kemudian apabila sampai ke jam dua petang, seorang tua yang mewakili bilal masjid telah mengumumkan sesiapa yang layak diminta tampil mengimamkan solat jenazah kerana imam masjid pergi ke padang,” katanya.

Menurut Che Zuhar, ketika itu makmum mula berbaris dalam saf dan beberapa orang penduduk kampung menarik tangannya ke depan untuk mengimamkan solat jenazah itu.

Beliau yang berkempen dalam PRK Tenang mewakili Dewan Ulamak, telah menyempurnakan tugas berkenaan sehinggalah jenazah dibawa ke kereta dan tanah perkuburan.

“Saya kecewa kenapa perkara ini dibangkitkan lagi walhal saya menyempurnakan fardhu kifayah setelah imam masjid meninggalkan tugas untuk meraikan Najib. Jenazah sudah selamat dikebumikan, kenapa mahu dipolitikkan lagi,” soalnya.
http://propasblog.blogspot.com

No comments:

Post a Comment